Cepatnya masa berlalu. Sekarang sudah 2024, COVID-19 menjadi kenangan yang tidak mahu kita ingati. Betul tak?

Namun, saya sedikit berkecuali. Ketika virus corona menyerang bumi dan penduduknya, manusia mengalami kerugian yang paling teruk dalam perniagaan, yang miskin semakin tenat kerana rezeki yang lesap, sesetengah para pelajar universiti mengalami tekanan perasaan yang kronik. Malah, ada yang tidak sanggup menerima keadaan “ngeri” yang melanda dunia.

Saya saksikan alam sebaliknya. Pada suatu petang setelah pulang daripada membeli barangan keperluan; di mana rakyat hanya dibenarkan keluar atas tujuan ini sahaja, saya singgah di Pantai Irama berdekatan dengan kediaman saya. Pepohon, ombak, dan lautan yang luhur sedang bergembira. Mereka seolah-olah pertama kali diberikan hak kebebasan, menyuarakan isi hati dan menyanyi bahasa-bahasa sepoi yang hanya mampu difahami melalui ketajaman akal kita.

Tiada manusia yang hadir untuk menyaingi alam. Mereka terlalu asyik menikmati kebebasan tersebut.

Kini setelah empat tahun berlalu, alam kembali murung. Gelombang sepoi telah bertukar kepada gelombang haba. Tanpa disedari, virus yang ‘jahat’ sebenarnya mengembalikan alam haknya seperti seorang Robin Hood. Kita saksikan, apabila manusia mendapat kuasanya semula, maka mulalah kerosakan mengambil tempat dan tanpa kita sedari telah melukakan alam yang kita diami. Walaupun kita jangkakan pembangunan dapat didirikan dengan menggondol hutan, gunung, dan bukit-bukau, namun sedarkah kita bahawa kita juga kehilangan dua hak yang penting; hak alam dan hak kita.

Pada Jun tahun ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan statistik jumlah kumulatif yang direkodkan bagi kes penyakit berkaitan cuaca panas telah meningkat kepada 88 kes setakat 27 Mei berbanding 84 kes setakat 19 Mei dengan satu kes kematian telah berlaku di Kelantan. NADMA turut menyatakan bahawa setakat 27 Mei lalu, daerah Kuala Krai di Kelantan mencatatkan cuaca panas tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius (C) hingga 40C. Ia berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Bercakap Dengan Alam” Gambar peribadi penulis. 27 April 2020, Pantai Irama Bachok.

Alam dan gunung-ganang telah diciptakan sebagai sumber oksigen kepada manusia dan haiwan. Ia juga telah diperintahkan untuk menampung air hujan dan mengimbangkan aliran sungai-sungai, dan menjadi teduhan kepada binatang liar yang semakin pupus. Yang terpenting, alam ini ialah rumah kita, anak cucu dan generasi turun-temurun kita.

Dalam Surah Al-Nahl ayat 15, Allah berfirman dengan ertinya: “Dia menjadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh, supaya bumi itu tidak bergoyang bersama kamu, juga sungai-sungai, dan jalan-jalan supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.”

Betapa cakna Tuhan, alam dijadikan-Nya teman dan bukan lawan kita. Maka, apakah kita masih mahu menurut nafsu? Masihkah lidah kita kelu untuk menyokong kebenaran?

Korupsi oppressi obsessi diri
Polussi depressi di bumi kini
Korupsi oppressi obsessi diri
Dibumiku ini, dibumiku ini, dibumiku ini

Lirik lagu “Hijau” oleh Zainal Abidin ini amat tepat untuk kita renungi sekarang. Untuk Nenggiri yang amat subur dan sejuk – mengirimkan solusi terhadap gelombang haba melalui awan-awan mendungnya ¬– adik kakok, undilah iklim. Alangkah rugi sek-sek kito, jika Nenggiri dinodai dek janji-janji yang tidak telus kerana ego kepartian, atau janji tin-tin kosong, bahkan akan hilanglah harapan kita terhadap pemuliharaan alam.

Dalam diam, hati saya berbisik kerisauan; seandainya saya dapat menyaksikan gelak tawa alam hanya apabila virus “baik’ kembali menyapa bumi.

Namun, betahkah kita?

Oh anok-anok
Tok leh meghaso mandi laok
Bersaing main ghama-ghama
Ale lo ni tuo omornyo berjoto
Kito usoho jauh ke daghi malo petako
Ozon lo ni koho nipih nak nak aghi
Keno make asak hok biso weh
Pase maknusio
Seghemo bendo-bendo di dunio
Tok leh tahe
Sapa bilo-bilo

Undi iklim deh, kito tok nyesal, biarlah duit tok tebal.

Sumber berita: https://www.sinardaily.my/article/218434/focus/national/hot-weather-illnesses-increase-kelantan-district-faces-heatwave (BERNAMA)