Harapan yang Menyuluh

Read more #UndiIklim Stories:

Saya membesar di negeri Cik Siti Wan Kembang sebagai seorang anak jati yang menyaksikan perubahan ketara dalam dunia politik tanah air. Negeri ini ada keistimewaannya sehingga ia menjadi taruhan mana-mana parti yang mahu bertanding dan memenangi kerusi pilihan raya. Paling utama ialah nilai keagamaan yang cuba dikekalkan dalam tampuk kepimpinan.

Tidak dinafikan, Islam merupakan kekuatan utama bagi rakyat negeri Kelantan. Jumaat sebagai hari minggu, penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan jalan raya, malah ketika azan Maghrib berkumandang, gerai-gerai di pasar malam akan menghentikan urusan perniagaan. Namun, tanpa kita sedar isu ‘Islam’ sebegini sudah tidak lagi relevan pada hari ini. Setuju atau tidak, pemuliharaan dan pemeliharaan iklim adalah sebahagian daripada perintah agama. Saya percaya, sekelian rakyat Kelantan telah menyaksikan kemelut alam yang semakin meruncing di negeri ini walaupun masih ada yang mahu menafikannya.

Kenapa isu alam sepatutnya menjadi manifesto ahli politik yang memperjuangkan Islam?

Saya (kanan) dengan sepanduk #UndiIklim #Vote4Climate di depan bangunan DUN Kelantan.

Kerana adalah tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah untuk menjaga alam sekitar. Allah berfirman dalam Surah Al-Rum, ayat 41, mafhumnya:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (terjemahan: surah.my)

Semenjak berpindah ke ‘hometown’ kerana jawatan yang dipegang, saya mula membuka mata seluas-luasnya betapa sudah lama kami di negeri ini bergelut dengan pelbagai cabaran kehidupan dan pembangunan. Isu air bersih memerlukan anjakan paradigma yang paling besar. Ia tidak sepatutnya dipandang sebagai isu picisan. Ada kalanya, ketika air berwarna seperti teh ais pekat yang kurang susu, kerja rumah seperti membasuh dan memasak tidak dapat diteruskan. Air sebegini juga berbahaya kepada kesihatan, apa lagi jika menggunakannya untuk mandi akan menyebabkan kegatalan di seluruh badan.

Jika kita lihat pergelutan alam yang lebih luas, keadaan hutan di negeri Serambi Mekah ini amat membimbangkan. Pencabulan hutan dan gunung yang semakin ketara akan membawa kepada masalah berat kepada rakyat terutamanya pada fasa akhir tahun sewaktu berlakunya banjir. Saya pernah bertugas di Jeli pada 2014 di mana saya sempat untuk pulang ke kampung yang berdekatan dengan pantai sehari sebelum hujan lebat turun di seluruh negeri tanpa henti selama beberapa hari.

Banjir yang berlaku di Kelantan pada bulan Disember yang lepas.

Apabila banjir berlaku, kita menyaksikan airnya tidak jernih. Air banjir bercampur lumpur. Ia terjadi kerana tiada pokok yang cukup yang menahan pergerakan air yang sampai di daerah pergunungan. Kampus di Pengkalan Chepa terkandas kerana air sungai yang melimpah. Para pelajar di universiti telah diberikan kelonggaran untuk menunda peperikasaan akhir disebabkan banjir yang teruk.

Itu cerita sembilan tahun lepas. Namun, ia tidak berhenti di situ sahaja. Pemanasan global telah mempengaruhi keadaan hutan yang membotak disebabkan kemusnahan alam ini. Ia menjadi penyebab kepada kebakaran terbuka secara semulajadi pula. Pada bulan Ramadhan tahun ini, beberapa siri kebakaran terbuka kerana fenomena ‘elnino’ telah berlaku di daerah saya iaitu Bachok, sehingga merebaknya asap tebal ke udara yang mengganggu pernafasan. Para penduduk tempatan mengakui bahawa kebakaran ini kerap berlaku, namun tidak pasti cara yang terbaik untuk menanganinya.

Saya (tengah) membawa juru kempen Greenpeace Malaysia ke tapak kebakaran gambut yang berlaku pada bulan Ramadhan ini (April) di Kelantan.

Jika ketiga-tiga isu alam ini dapat dilukis di atas kertas sebagai sebuah potret, saya pasti kita akan melihat wajah seorang tua yang lesu kerana keletihan menghadapi putaran hidup yang tidak berubah.

Persoalannya sekarang, adakah itu wajah kita dan anak-anak kita juga?

Keadaan air yang teruk tidak sewajarnya ditempelak dengan mengatakan ianya tanggungjawab kerajaan pusat. Ia wajib ditangani oleh kerajaan negeri demi mengembalikan kepercayaan rakyat yang telah mengundi. Kesedaran tentang wajibnya menjaga alam seharusnya disebarkan secara komuniti oleh setiap kepimpinan.

Risalah kenabian sejak dari Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW tidak pernah berubah. Menjaga kemaslahatan rakyat, termasuk kecukupan hidup dan hal ehwal persekitaran adalah tugas para nabi dan kita. Sebagaimana yang diterangkan dalam Surah Hud, ayat 85 ketika Nabi Syuaib AS mengingatkan kaumnya:
“Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (terjemahan: surah.my)

Jangan ditebang pokok-pokok yang memberikan sumber oksigen kepada masyarakat dan memerangkap haba untuk membentuk ekosistem yang seimbang. Pulihkan air agar para marhaen mendapat hak mereka yang asasi. Inilah slogan Islam yang wajib difahami dan diwartakan oleh kerajaan yang memerintah.

Saya yakin, rakyat Kelantan wajar membuat perubahan. Bijaklah dalam memilih pemimpin yang cakna terhadap cabaran sebenar yang dihadapi. Menjaga alam adalah satu amanah Tuhan kepada khalifahnya.

#Ummah4EarthMY #UndiIklim #Vote4Climate