Perubahan iklim memberi kesan mendalam kepada kita semua, namun ada yang lebih terkesan daripada yang lain. Tindakan penyesuaian dan pemulihan berdaya tahan iklim perlu adil dan sejagat, tetapi masih ada yang dikecualikan.

Sekarang jelas bahawa perubahan iklim telah menjadi realiti kehidupan seharian kita dan merupakan krisis global yang sangat mendesak. Terlalu banyak buktinya telah pun dilihat merugikan komuniti terjejas di seluruh dunia yang menderita akibat perubahan iklim ke atas kehidupan dan mata pencarian mereka disebabkan oleh faktor seperti kemarau yang lebih teruk dan lebih kerap, kejadian cuaca ekstrem seperti banjir dan gelombang haba, dan impak yang berkaitan ke atas pertanian, jaminan makanan dan kos sara hidup.

Usaha dunia untuk mencari jalan penyelesaian, bekerjasama dan menyesuaikan diri diterjemahkan ke dalam laporan tahunan, inisiatif, perubahan dasar, dan persidangan antarabangsa seperti laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim dan Persidangan Antara Parti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. 

Walau bagaimanapun, keadilan iklim nampaknya masih sukar dicapai.

Negara dan komuniti yang paling kurang menyumbang kepada kecemasan iklim membayar harga tertinggi, manakala penyumbang paling banyak kepada krisis masih belum bertanggungjawab ke atas bahagian mereka.

Apakah keadilan iklim?

Keadilan iklim bermula dengan pengiktirafan bahawa perubahan iklim boleh mendatangkan kesan buruk yang tidak seimbang kepada negara, komuniti dan kumpulan yang berbeza. Ini bermakna wujudnya jurang perbezaan dari segi kesan perubahan iklim.

Istilah ini juga menunjukkan bahawa komuniti berpendapatan rendah dan kumpulan terpinggir menanggung kesan yang paling teruk sedangkan merekalah yang paling kurang bertanggungjawab terhadap masalah ini.

Keadilan iklim memerlukan pemahaman bahawa negara membangun tidak mempunyai cara yang sama untuk pulih dan menyesuaikan diri. Kesan perubahan iklim juga boleh memburukkan keadaan sosio-ekonomi yang tidak saksama, jadi ia juga adalah tentang pengagihan saksama antara beban dan faedah.

Keadilan iklim dari perspektif Islam

Tradisi agama Islam mendorong kita untuk melindungi dan mempertahankan hak komuniti yang paling terdedah dan terkesan, juga bersuara untuk satu sama lain. Memandangkan majoriti umat Islam tinggal di negara-negara Global Selatan di mana kesan perubahan iklim paling teruk terjadi, adalah menjadi tanggungjawab umat kita untuk mengiktiraf isu ini dan menanganinya sebagai sebahagian daripada penjagaan manusia terhadap Bumi dan semua kehidupannya.

Global Selatan: Keadilan iklim bukan sekadar isu alam sekitar

Kita hidup dalam kawasan yang sentiasa bergolak dengan konflik dan masalah sosio-ekonomi. Kita mungkin mempunyai kebimbangan tertentu seperti kos sara hidup yang tinggi, penjagaan keselamatan diri, gangguan bekalan elektrik dan banyak lagi sebagai keutamaan apabila perkara terakhir yang terlintas di fikiran kita adalah isu iklim.

Namun, perubahan iklim bukan lagi hanya masalah alam sekitar. 

Ia juga merupakan elemen utama yang mempengaruhi situasi politik, sosial dan ekonomi negara kita, di mana kesan iklim mempunyai akibat dan tekanan secara langsung ke atas sistem sedia ada.

Selama bertahun lamanya aktiviti manusia, perindustrian dan kolonialisme telah meninggalkan kesan mendalam di negara-negara Global Selatan termasuklah rantau Asia Tenggara. 

Kita telah cukup menderita akibat daripada ketidakadilan yang menyebabkan rantau ini menghadapi kesan perubahan iklim dengan lebih pantas dan lebih teruk berbanding dengan rantau lain, juga tidak mempunyai alat dan sumber yang sesuai untuk menghadapi dan menyesuaikan diri. 

Kita perlu mempertanggungjawabkan kerajaan untuk mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui. 

Kita juga memerlukan perkongsian ilmu pengetahuan dan pampasan kewangan daripada negara-negara Global Utara yang bertanggungjawab sejak bertahun dahulu terhadap krisis iklim.

Adalah amat penting bagi negara maju menghulurkan bantuan sama ada melalui pembiayaan atau perkongsian ilmu pengetahuan yang mungkin berguna dalam memerangi kesan iklim. Pencemar terbesar perlu membayar dan bertanggungjawab untuk melindungi hak kita untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan selamat. 

Ia merupakan peranan, masa, dan tanggungjawab kita di rantau ini dan sebagai sebahagian daripada Global Selatan untuk melantangkan suara kita pada masa hadapan untuk menekan pemimpin dunia dan kerajaan supaya menyelaraskan dan menyampaikan permintaan kita.

Bagaimana krisis iklim telah menjejaskan kehidupan dalam komuniti anda?