KENYATAAN MEDIA

13 November 2020

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) mengucapkan tahniah kepada Sidang Dewan Negeri Selangor kerana sebulat suara meluluskan usul pada 11 November 2020 untuk mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri agar kawasan- kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Negeri Selangor dikekalkan dan dipelihara dengan baik. Seiring dengan itu, kami mendesak Menteri Besar dan EXCO Negeri untuk menarik kembali cadangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan serta merta.

Peristiwa yang luar biasa ini ditandakan oleh sokongan sebulat suara daripada Wakil Dewan Undangan Negeri yang telah membantah, secara khusus, kepada cadangan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan “projek pembangunan bercampur” oleh kerajaan negeri dan beberapa pihak lain.  Usul itu dibangkitkan oleh YB Tuan Najwan Halimi (PKR – Kota Anggerik) yang menekankan dalam ucapan beliau bahawa ia adalah tanggungjawab kesemua manusia untuk menjaga alam sekitar. Selain dari menengahkan kemusnahan alam sekitar dan kehilangan kepelbagaian biologi yang telah sering kali dibentangkan oleh pihak media, YB Najwan juga membawa perhatian kepada fakta yang kawasan di sekitar HSKLU secara relatif masih kurang padat. Oleh itu, tampaknya tidak ada alasan untuk menceroboh kawasan hutan simpan, sebuah keputusan yang menunjukkan kurangnya perencanaan oleh kerajaan Negeri.

Bantahan-bantahan ini mengulang isi kenyataan yang dibuat oleh YB Elizabeth Wong (PKR – Bukit Lanjan) di Dewan Undangan Negeri pada 2 November lalu bahawa “Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, yang bertanggungjawab saya ingin menyeru supaya kerajaan negeri Selangor perlu ada keberanian, daya politik melihat semula keadaan ini dan untuk memberhentikan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Sokongan untuk usul itu, sekali dengan bantahan kepada penyahwartaan juga diberikan oleh beberapa Perwakilan DUN lain termasuk YB Michelle Ng (DAP-Subang Jaya), YB Edry Faizal Eddy Yusof (DAP-Dusun Tua), YB Dato Mohd Imram Tamrin (BN – Sungai Panjang), YB Rajiv Rishyakaran (DAP – Bukit Gasing) dan YB Lim Yi Wei (DAP – Kampung Tunku).

Pemuliharaan hutan simpan perlu berada disamping komitmen berterusan untuk memastikan perlindungan hak tanah leluhur Orang Asli. YB Edry Faizal Eddy Yusof mengingatkan Dewan bahawa di dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa ini, kepelbagaian hak budaya sering diambil kira dengan berat. Bagi Orang Asli, identiti dan budaya mereka tidak dapat dipisahkan dari tanah dan hutan dan itu mesti dihormati.

Hari ini, tanah dan perkampungan Orang Asli terus memerangi pencerobohan dari pemaju yang ingin membalak kayu, atau melombong pasir dan pelbagai aktiviti lain. Sebagai contoh, semasa Sidang DUN, kerajaan negeri melalui Kumpulan Semesta mula membersihkan kelapa sawit yang ditanam 10 tahun yang lalu di tanah leluhur Orang Asli di Desa Pulau Kempas yang berdekatan dengan HSKLU untuk mendirikan lombong pasir baru tanpa persetujuan daripada masyarakat Orang Asli di situ. Kampung dan tanah ladang Orang Asli sama pentingnya harus dilindungi. Artis Temuan dan anggota gabungan, Shaq Koyok mengingatkan, “Hutan adalah kehidupan kami, ia memberi makan kepada kami dan ia adalah budaya kami. Nenek moyang kami dikebumikan di sini. Mengapa kerajaan negeri Selangor, atau mana-mana kerajaan negeri, merasakan bahawa mereka boleh memindahkan kami ke mana sahaja dan menghancurkan budaya dan masyarakat kami begitu sahaja? Adakah mereka akan melakukan hal yang sama dengan budaya lain di Malaysia?

Usul itu datang selepas lebih dari 45,000 bantahan dari orang awam kepada penyahwartaan HSKLU telah diterima oleh kerajaan negeri. Ia juga datang dua minggu selepas pelancaran kempen awam kami pada 29 Oktober, dimana kami mendorong rakyat untuk menegaskan hak mereka untuk memilih masa depan yang lestari dengan menghantar e-mel kepada wakil rakyat mereka untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap penyahwartaan tersebut. Kempen ini banyak dikongsi di media sosial (#hutanpergimana) yang diketuai oleh KAMY, KUASA dan Five Arts Center, dengan gambar-gambar yang dihasilkan oleh artis visual yang berlainan sepanjang kempen ini. Pokok yang disumbangkan oleh GRASS Malaysia dan EMPOWER Malaysia juga dihantar kepada anggota Dewan Undangan Negeri untuk mengingatkan mereka bahawa tindakan menghadapi krisis iklim berada di tangan penggubal undang-undang pada generasi ini. Kempen ini juga bertindih dengan permulaan Rali Iklim Asia serantau yang bermula di Malaysia pada 10 November.

Hasil kempen ini  dipantau oleh SUARAM, Greenpeace Malaysia dan PSM, dan diterbitkan di laman web. Kemudian kami merekod kad skor hijau yang menunjukkan kedudukan ADUN Selangor tentang penyahwartaan HSKLU. Menurut wakil Greenpeace Malaysia, Nur Sakeenah Omar, “Hampir 1,500 orang menghantar e-mel kepada beberapa atau semua wakil rakyat di Selangor. Penglibatan orang ramai sangat positif dan kami berpuas hati melihat banyak rakyat Malaysia merasa sangat bersemangat tentang isu ini, cukup untuk menuntut wakil rakyat mereka bersuara bagi pihak mereka.”

Selain bantahan yang dikemukakan semasa Dewan Undangan Negeri, ADUN lain yang membuat bantahan termasuklah YB Chua Wei Kiat (PKR – Rawang), YB Azmizam Zaman Huri (PKR – Pelabuhan Klang) dan Anggota Parlimen YB June Leow (PKR – Hulu Selangor). YB Hannah Yeoh (bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor), walaupun bukanlah wakil rakyat untuk negeri Selangor pada masa kini, juga mengemukakan bantahan beliau.

PHSKLU merasa pertunjukan sokongan ini daripada semua pihak amatlah menggalakkan. Faizal Parish, Pengarah Global Environment Centre mengatakan, “Ini merupakan langkah maju yang menggalakkan untuk semua kempen-kempen alam sekitar, kerana ini adalah pertama kali saya menyaksikan sokongan sebulat suara, tanpa bantahan, untuk pemuliharaan semua hutan simpan sebagai tindak balas kepada cadangan pembangunan

Tetapi isu ini belum selesai – PHSKLU amat komited untuk memantau keadaan kerana keputusan akhir mengenai nasib HSKLU masih terletak pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO). Sebarang keputusan untuk terus menyahwartakan HSKLU akan sangat mengejutkan. Setelah mendapat mesej yang jelas dan sebulat suara dari rakyat Selangor dan wakil rakyat mereka untuk “Mengekalkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai Hutan Simpan“, kami mendesak Menteri Besar dan EXCO Negeri untuk menarik kembali cadangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan serta merta.

Gabungan dengan ini hendak menyatakan ribuan terima kasih kepada wakil rakyat, kumpulan khas dan rakyat jelata yang terus menerus bersuara, dan membantah penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) disertai oleh:
1. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
2. SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)
3. Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia- KAMY)
4. Five Arts Centre
5. Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat
6. EMPOWER Malaysia
7. Greenpeace Malaysia
8. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
9. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
10. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
11. Global Environment Centre (GEC)
12. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Malaysia
13. Malaysian Nature Society (MNS) Selangor
14. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
15. Treat Every Environment Special Sdn Bhd (TrEES)

Rujukan:

Sidang Dewan Negeri Selangor | 2 November 2020 – Sesi petang

Petikan oleh YB Elizabeth Wong, 1: 24:01

Sidang Dewan Negeri Selangor | 11 November 2020 – Sesi petang

Ucapan oleh YB Najwan Halimi dan ADUN-ADUN yang menyokong, 1:16:08

Untuk dihubungi:

  1. Suresh Kumar | 019-569-6964 | [email protected]
  2. Damien Thanam | 012-696-1129 | [email protected]
  3. Ili Nadiah Dzulfakar | 018-358-2752 | [email protected]
  4. Professor Madya Dr Darren Ong Chung Lee | 012-465-3750 | [email protected]

Dilampirkan: Teks penuh ucapan YB Najwan Halimi, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik

TEKS UCAPAN PERBAHASAN USUL NO. 26 TAHUN 2020

MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA DEWAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN KEEMPAT BELAS TAHUN 2020

11 NOVEMBER 2020

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin membawa satu usul yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan Yang Mulia ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor mempertahankan status warta hutan simpan di seluruh negeri agar kawasan- kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Negeri Selangor dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di Negeri Selangor mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang.”

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian,

  • Saya percaya usul yang dibentangkan ini cukup signifikan dan berkait rapat dengan tanggungjawab kita sebagai pemegang mandat rakyat serta kewajipan kita sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Tuhan untuk menjaga serta memelihara alam yakni Bumi yang kita diami ini.
  • Oleh yang demikian, pada hari ini saya menjangkakan dukungan penuh dari Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sama-sama memastikan usul ini disepakati dan dizahirkan sebagai mewakili suara serta tuntutan seluruh rakyat Selangor yang komited dan tegas untuk menjamin kelestarian, kehijauan dan keseimbangan ekosistem di negeri Selangor.

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian,

  • Di dalam Al-Qur’an menerusi Surah Ar-Rum, ayat ke-41, Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT) telah mengingatkan:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

  • Saya percaya, setiap agama dan kepercayaan sama ada Islam, Kristian, Buddha dan Hindu menuntut para penganutnya agar memelihara hubungan yang seimbang antara manusia dan alam. Sebagai seorang Muslim, saya sering mengingatkan diri saya akan peranan yang telah dimaktubkan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an sebagai khalifatul fil ardh yakni khalifah atau pemimpin di muka bumi. Istilah ini bolehlah ditafsirkan sebagai wakil Tuhan di atas Bumi ini yang dipertanggungjawabkan untuk memakmur, menjaga serta memeliharanya dengan baik. Kepentingan alam sekitar turut dinyatakan di dalam Al-Qur’an menerusi Surah Luqman, ayat ke-10 yang bermaksud:

“Dia (Allah) menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.”

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian,

  • Pada bulan Februari yang lalu, kita semua dikejutkan dengan cadangan kerajaan negeri untuk menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara bagi tujuan projek pembangunan bercampur. Keseluruhan kawasan berkenaan dianggarkan seluas 2,400 ekar.
  • Saya mendapat maklumat daripada beberapa pakar perancang bandar, sekiranya 1,000 ekar sekalipun yang mahu dibangunkan, projek berkenaan boleh memakan masa sekitar 10 hingga 20 tahun, dan ia bergantung kepada keadaan pertumbuhan ekonomi dan beberapa faktor lain. Bayangkan bagi kawasan seluas 2,400 ekar, mungkin memakan masa sehingga 40 hingga ke 50 tahun! Barangkali nilai projek juga berbilion ringgit.
  • Maknanya projek ini bukan kepalang — bukan sahaja perlu dilihat dari sudut keuntungan ekonomi, namun perlu juga dilihat impak lain yang mungkin timbul. Sekalipun nyahwarta peringkat awal melibatkan keluasan 1,000 ekar sahaja, ia juga sudah cukup besar.
  • Saya tidak pasti, apakah saiz keseluruhan kawasan berkenaan sama seperti saiz keseluruhan beberapa penempatan lain seperti Subang Jaya, misalnya atau mungkin juga lebih besar daripada saiz Setia Alam. Katakanlah saiznya sebesar Subang Jaya, sehingga kini pun Subang Jaya boleh dikatakan masih belum siap dibangunkan meski pun sudah mendapat status bandaraya.
  • Saya percaya kita semua bukan mahu menolak pembangunan. Apa yang dapat kita pelajari daripada kesilapan masa lalu ialah pembangunan perlulah dirancang dengan baik. Kita sudah terlalu banyak kawasan pembangunan baru yang hanya molek di peringkat awal, tetapi menjadi berkecamuk kemudiannya.
  • Secara logiknya, kawasan kediaman, komersial serba moden seperti yang cuba dibangunkan di Cyberjaya — yakni kawasan yang agak berhampiran dengan hutan simpan yang kita bincangkan ini sekalipun — masih belum dapat dimajukan semaksimanya. Begitu juga dengan Putrajaya dan kawasan berhampiran, ke semuanya masih ‘terbuka’ dan belum begitu padat.
  • Oleh yang demikian, agak tidak munasabah sekiranya kerajaan negeri sekali lagi ingin menyahwartakan sebuah kawasan seluas 1,000 ekar atau lebih bagi tujuan pembangunan bercampur. Sepertimana ayat Al-Qur’an yang saya sebutkan di atas, saya bimbang kesan jangka panjang akan menjadikan negeri yang kita cintai ini sebagai negeri yang sempang peranang kerana kegagalan kita merancang pembangunan secara komprehensif.
  • Tatkala saya memandu kereta ke arah selatan sebelum membelok ke lebuhraya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya juga dapat melihat bangunan tinggi dipacak di kawasan berhampiran hutan simpan yang kita bicarakan ini. Terdetik di dalam hati saya perasaan yang aneh iaitu bagaimanakah pangsapuri yang begitu tinggi didirikan di dalam kawasan yang sekelilingnya masih tanah kosong?
  • Ia seakan-akan menggambarkan betapa sifat tamak pemaju yang mahu mengaut keuntungan yang maksima dengan membangun pangsapuri di tengah- tengah padang jarak padang terkukur. Sudah tentu rumah yang disusun ke atas akan lebih menguntungkan — termasuk dalam tempoh masa panjang — ketimbang rumah yang dibangunkan secara teres, berkembar atau banglo.
  • Apa yang boleh saya bayangkan, pembangunan apartmen atau kondominium sebeginilah yang menjadi antara punca kediaman landed menjadi begitu mahal. Kalau pangsapuri pun dijual dengan harga RM500 ribu hingga ke RM1 juta, berapa pula harga sebuah kediaman landed? Sedangkan bagaimana sempit pun negeri Selangor ini, kita masih punya tanah yang luas. Apatah lagi di  kawasan Kuala Langat yang belum pun begitu maju serta padat.
  • Apa yang ingin saya maksudkan di sini ialah, setiap keputusan kita di dalam Dewan Yang Mulia ini, akan memberi kesan di masa depan. Sama ada kesan ekonomi mahu pun sosial. Oleh itu, pada pandangan saya, sekali lagi, kerajaan negeri perlu cermat dan berhati-hati manakala mahu menyahwarta hutan simpan mahu pun membangunkan kawasan pembangunan baru agar kita tidak mengulangi kesilapan lampau.

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian,

  • Tindakan untuk menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini tidak boleh dilakukan tanpa rundingan dengan pelbagai pihak; sama ada golongan profesional mahupun dengan pemegang taruh di kawasan berkenaan. Antara pemegang taruh yang penting ialah masyarakat di kawasan berhampiran. Saya sedar, sejak awal tahun ini lagi, kerajaan negeri telah melakukan proses pendengaran awam bagi mendengar setiap pandangan di pelbagai peringkat.
  • Susulan dari itu, banyak bantahan telah diterima melibatkan pelbagai segmen masyarakat termasuk pimpinan politik, ahli akademik, badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil komuniti Orang Asli, penjawat awam, syarikat-syarikat swasta dan lain-lain.
  • Bahkan menerusi sesi pendengaran awam yang dijalankan di Pulau Carey pada akhir September yang lalu, Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bukit Lanjan, Banting dan Sijangkang turut menzahirkan protes mereka di samping wakil-wakil komuniti Orang Asli dari sekurang-kurangnya tujuh (7) buah kampung. Saya sendiri bersama- sama dengan Ahli-ahli Yang Berhormat dari Kampung Tunku, Pelabuhan Kelang, Dusun Tua dan Rawang turut menyatakan bantahan kami terhadap cadangan ini menerusi petisyen awam yang digerakkan oleh gabungan beberapa NGO di antaranya Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (KAMY), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Greenpeace Malaysia.
  • Menurut maklumat yang diterbitkan di laman sesawang  Greenpeace Malaysia, Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah di wartakan pada awal 1920-an telah pun mengalami kemerosotan sebanyak 97% dari saiz asal. Hutan ini adalah hutan paya gambut yang mempunyai keunikan bio-diversiti dan fungsi ekosistem yang penting untuk penduduk sekitar Banting dan Kuala Langat. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air semulajadi, hutan ini juga adalah kawasan rayau bagi komuniti Orang Asli di mana kehidupan mereka sememangnya bergantung kepada hutan ini. Hutan ini juga merupakan habitat kepada spesis fauna terancam seperti Beruang Matahari, Tupai Terbang, Ikan Laga Merah Langat serta beberapa spesis tumbuhan terancam seperti Meranti Bunga, Meranti Bakau dan Mersawa Paya.

Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat sekalian,

  • Dalam usaha kerajaan negeri untuk menjayakan agenda pembangunan serta membawa kemajuan kepada rakyat Selangor, kita tidak sewajarnya menyisihkan tanggungjawab untuk memastikan keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar terus dipelihara.
  • Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), melalui presidennya, Profesor Dr. Ahmad Ismail juga ada menyentuh dan mengulas mengenai kawasan berkenaan. Pandangan beliau yang terbit pada 29 September lalu di Berita Harian menyatakan dengan tegas bahawa kawasan itu mempunyai kepentingan di dalam pemuliharaan flora dan fauna di negeri Selangor. Selain menjadi kawasan rayau dan penempatan Orang Asli, Selangor sebagai sebuah negeri maju juga disarankan agar menjadi negeri contoh dalam usaha pemuliharaan hutan simpan.
  • Sehubungan dengan itu, suka untuk saya tegaskan kepada pihak kerajaan negeri; nasihat serta ingatan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pada 18 Mac 2019 yang menitahkan agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Negeri Selangor ini dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di Negeri Selangor ini mencukupi dan tidak terjejas untuk masa akan datang. Menerusi titah ucapan yang sama, Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut menitahkan agar usaha-usaha mengekalkan hutan simpan serta keindahan flora dan fauna semulajadi di hutan hendaklah dilakukan serta memastikan bahawa tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan-hutan simpan dan kawasan tadahan air ini.
  • Kita amat sedar bahawa – sekali lagi – masalah yang kita hadapi hari ini tidak lain adalah apa yang kita tanggung kesan daripada kepincangan pentadbiran lalu. Antaranya ialah bila mana tanah-tanah negeri dipindahkan kepada anak-anak syarikat tertentu secara besar-besaran.
  • Bermula dari situ, apa yang kemudiannya terjadi ialah risiko salah urus sehingga kerajaan negeri terpaksa menanggung pelbagai kerugian. Apabila rugi, maka akhirnya kerajaan negeri-lah yang terpaksa menanggungnya.
  • Oleh itu, saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil-alih semula tanah-tanah yang secara pukal diberikan kepada anak-anak syarikat tertentu dan menyusun semula perancangan pembangunan yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat.
  • Setidak-tidaknya dengan cara ini, sekiranya berlaku sesuatu yang buruk dan tidak dingini sekalipun, kerajaan negeri tetap tidak kehilangan tanah yang bernilai berjuta bahkan berbilion ringgit. Tata kelola anak-anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor juga wajar berubah demi memastikan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan dapat digalas dengan baik.
  • Zaman di mana bangsa kita dikenali sebagai “bangsa penjual tanah pusaka” sudah berakhir.

Sekian, saya mohon mencadangkan.