Haji Mesra Alam: Mengekalkan Keberkatan untuk Generasi Akan Datang

Haji merupakan ibadah ziarah terbesar di dunia. Secara purata, 2 juta orang mengerjakan ibadah ini setiap tahun, namun jumlah ini menurun dengan ketara pada tahun 2021 disebabkan oleh sekatan Covid-19 dan meningkat semula pada tahun 2022 apabila haji dapat dilakukan sekali lagi.

Aktiviti manusia secara besar-besaran seperti ini boleh menjejaskan alam sekitar dari segi sisa buangan, penggunaan dan jejak karbon seperti mana-mana perhimpunan besar yang lain. Tetapi jemaah haji mempunyai peluang dan sumber untuk menunaikan haji secara mesra alam.

Ketika dunia kembali merasai berkat ibadah haji, maka datang peluang pada hari ini dan tahun-tahun mendatang untuk menjaga keberkatan ini untuk generasi anak-anak dan cucu kita.

Kekalkan Keberkatan: Lindungi Alam Sekitar Semasa Musim Haji dan Seterusnya

Alam sekitar kita merupakan satu keberkatan dari Allah. Sebagai umat beriman, kita bertanggungjawab semasa mengerjakan ibadah kita dan kehidupan harian untuk melindungi persekitaran kita.

Bagi agama Islam khususnya, menjalani gaya hidup yang mementingkan alam sekitar adalah sebahagian daripada ibadah dan merupakan ungkapan peranan seorang Muslim sebagai khalifah di bumi ini. Ini ditekankan semasa peristiwa-peristiwa besar dalam Islam seperti ibadah haji.

Oleh itu, penting untuk kita bijak memikirkan tentang cara untuk menjalankan ibadah yang mesra alam dan mengambil kira kepentingan kelestarian alam sekitar serta pemikiran jangka panjang dalam memastikan generasi-generasi Muslim pada masa hadapan dapat terus menikmati keberkatan ibadah haji.

Bagi mereka yang ingin mengerjakan haji tetapi belum dapat melakukannya, anda juga boleh melakukan sesuatu sekarang. Menjalani kehidupan dengan kesedaran juga merupakan suatu ibadah, itulah sebabnya anda digalakkan untuk menjalani gaya hidup yang mesra alam bagi perlindungan alam sekitar dan memberi peluang kepada semua orang untuk mengerjakan ibadah haji!

Bersama-sama kita dapat membuktikan bahawa kita boleh mengambil iktibar dari pengalaman silam, bermula dari saat-saat seperti mengerjakan ibadah haji, dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dan inisiatif yang mampan dan mesra alam untuk jangka panjang demi kebaikan umat secara keseluruhannya.

Panduan Amalan Hijau untuk Haji dan Umrah

Panduan ini telah disediakan oleh Global One, salah satu organisasi yang bekerjasama dengan gerakan Ummah for Earth, dan dilancarkan pada tahun 2021 sebagai satu aplikasi.

Ini adalah versi kedua Panduan Amalan Hijau untuk Haji dan Umrah. Ia dikeluarkan 10 tahun selepas versi pertama dilancarkan di Assisi, Itali di bawah seliaan ARC, Alliance of Religion and Conservation.

Panduan ini memberikan cadangan kepada masyarakat, kerajaan, dan institusi untuk membolehkan ibadah ziarah yang lebih mesra alam serta menggalakkan kelestarian alam sekitar dalam kehidupan seharian kita sebagai satu tanggungjawab bersama.

Ia memberi sumbangan yang penting dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar semasa ibadah haji dan umrah sebagai langkah awal untuk menjalani kehidupan yang lebih mesra alam.

Perubahan bermula dalam diri setiap seorang daripada kita dengan setiap tindakan kecil!

The Green Guide of Hajj-MalayTranslation